KUALA LUMPUR 6 Ogos – Cadangan penubuhan syarikat kenderaan nasional ketiga wajar disemak semula kerana bertentangan dengan hasrat Pakatan Harapan untuk menurunkan harga kereta serta menghapuskan cukai eksais.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, syarikat tersebut juga sememangnya tidak diperlukan kerana kerajaan mempunyai keutamaan lain yang lebih besar.
“Saya ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan (rakyat) terhadapnya adalah jelas. Pakatan Harapan dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat.
“Sementara rakyat masih memberi peluang kepada Pakatan Harapan melaksanakan janji-janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan akan mengundang rasa sinis rakyat,” katanya dalam status yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya hari ini.
Sabtu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof memaklumkan yang kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. -UTUSAN ONLINE










