KUALA LUMPUR 6 Ogos – Selepas tertangguh hampir tiga tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan bertekad untuk mewartakan Pelan Draf Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 pada tahun ini.
![]() |
|
KHALID ABDUL SAMAD
|
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya tidak akan membiarkan pelan draf itu tertangguh kerana ia telah melibatkan kos yang agak tinggi.
Katanya, kerajan terdahulu telah membayar banyak pakar rujuk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkepentingan bagi memberi pandangan masing-masing untuk dimasukkan ke dalam pelan draf berkenaan.
“Pelan draf itu bukan datang percuma. Kita (kerajaan) telah bayar pakar rujuk dan banyak belanja untuk pendengaran awam. Banyak NGO dan badan berkepentingan yang ingin melihat bandar raya Kuala Lumpur menjadi lebih teratur.
“Sehubungan itu, atas kegagalan kerajaan sebelum ini mewartakan Pelan Draf Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 , kerajaan berasa bertanggungjawab penuh untuk mewartakannya pada tahun ini walaupun tempoh pelaksanaannya tinggal hanya dua tahun lagi sehingga hujung tahun 2020,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. -UTUSAN ONLINE











