KOTA BHARU 5 Ogos – Kerajaan Pas Kelantan mahu ‘sekolahkan’ golongan lelaki di negeri ini termasuk yang belum berkahwin supaya menjadi pemimpin sejati dalam institusi keluarga dan juga masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, seramai 25,000 lelaki disasarkan dalam tempoh lima tahun ini untuk mengikuti program sekurang-kurangnya dua kali setahun di bawah gagasan Lelaki Qawwamah Kelantan 2019.
Beliau berkata, pelaksanaan gagasan tersebut yang selaras dengan tuntutan Islam ke arah pemerkasaan lelaki sebagai wali dan pemimpin serta pembentukan lelaki bermaruah bukan khusus untuk Muslim sahaja bahkan juga yang bukan Islam.
“Kami merasakan pemerkasaan golongan wanita semata-mata melalui pelbagai program yang kita jalankan selama ini tidak akan menyelesaikan isu kekeluargaan kerana yang menjadi nakhoda dalam keluarga sepatutnya lelaki dan bukan wanita.
“Golongan sasar kita bukan kepada yang bergelar suami sahaja tetapi juga adik beradik lelaki mahupun bapa saudara yang menjadi pelindung dan wali kepada wanita dan anak perempuan di bawah tanggungjawab mereka.
“Pelaksanaan program ini juga akan menjadi satu lagi langkah pencegahan daripada pelbagai permasalahan seperti LGBT, rogol, ragut, judi, keganasan rumah tangga, pengabaian nafkah, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini baru-baru ini.
Mumtaz berkata, satu jawatankuasa melibatkan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri (U-Kekwa) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) akan membuat kajian dan modul bagi pelaksanaan program tersebut.
Beliau berkata, sebelum ini program seminar ketua keluarga yang dianjurkan dua kali setahun sejak 10 tahun lalu hanya terhad kepada pegawai kerajaan sahaja.
“Tanggungjawab lelaki menjaga wanita tidak hanya dalam urusan nafkah sahaja tetapi juga pendidikan, kasih sayang dan keselamatan.
“Pemimpin yang hebat akan mampu menggerakkan jentera di bawah supaya sama hebat pada saat dia sendiri ditimpa musibah,” katanya lagi.










