Kerajaan cuba bawa pulang rakyat Malaysia di Lombok - TPM - Utusan Malaysia

Kerajaan cuba bawa pulang rakyat Malaysia di Lombok – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 7 Ogos – Kerajaan akan berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia susulan kejadian gempa bumi sekuat tujuh richter, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan menyediakan penempatan di kawasan selamat sebagai usaha melancarkan rancangan membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas.

“Kita akan membuat penempatan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana. Ini bagi melicinkan kerja-kerja mengenal pasti (rakyat Malaysia yang menjadi mangsa) dan membawa pulang mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Simulasi Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Sekolah dan Komuniti Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. 

Akhbar hari ini melaporkan Lombok sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi yang menyaksikan sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh dan 236 lagi cedera selain banyak kemusnahan besar berlaku di kawasan pulau berkenaan.

Kedutaan Malaysia di Jakarta juga telah  mengesahkan seramai 161 rakyat Malaysia yang berada di beberapa lokasi di Lombok berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Wan Azizah memberitahu, kerajaan sudah menawarkan untuk menghantar misi bantuan ke Lombok menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) namun sehingga kini belum menerima maklum balas daripada kerajaan Indonesia.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada mereka dan saya kira kita haruslah belajar dari pengalaman supaya kita turut siap siaga (kemungkinan bencana) memandangkan jarak Malaysia dan Lombok adalah dekat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN