Kerajaan akan giat promosi minyak sawit ke dalam pasaran baharu - Utusan Malaysia

Kerajaan akan giat promosi minyak sawit ke dalam pasaran baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Industri Utama akan terus giat mempromosikan minyak sawit Malaysia ke dalam pasaran berpotensi susulan cadangan Kesatuan Eropah untuk menghentikan penggunaan minyak sawit bagi sektor pengangkutan menjelang 2030.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sedang berunding dengan Filipina, Turki, Iran dan negara Afrika.

“Pasaran baharu ini mempunyai potensi yang amat besar dan belum dimanfaatkan. Susulan langkah EU itu, Malaysia perlu meneroka dan mengurangkan kesan tersebut menerusi pengeksportan ke pasaran baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perundingan Bajet 2019 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, India, China dan negara Eropah merupakan pembeli terbesar minyak sawit.

Tahun lepas, Parlimen Eropah mencadangkan untuk menghapuskan keseluruhan penggunaan minyak sawit bagi pengangkutan mulai Januari 2021.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, prospek eksport minyak sawit Malaysia pada separuh kedua 2018 dilihat cerah dengan kementerian menyasarkan untuk menarik lebih banyak pembeli dari China.

Terdahulu, kira-kira 180 peserta termasuk penggiat industri pengangkutan dan petroleum mengemukakan 119 kertas cadangan untuk dibincangkan lebih lanjut sebelum pengumuman sasaran bagi Bajet 2019.

“Saya tidak boleh jelaskan berapa banyak yang kita mohon memandangkan setakat ini ia masih tertakluk kepada perbincangan kementerian dengan Kementerian Kewangan kerana kementerian itu yang akan membuat keputusan pada akhirnya,” katanya.

Sesi perundingan selama empat jam bermula 10 pagi itu, bertujuan antara lain memulihkan semula kewangan kerajaan, menjana pertumbuhan mampan dan memakmurkan rakyat dengan tumpuan kepada penetapan bajet. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×