KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bakal menerima peruntukan tertinggi iaitu RM1.3 bilion bagi perbelanjaan kerajaan sepanjang tahun ini.
Peruntukan paling sedikit adalah Kementerian Pengangkutan dengan jumlah RM14.7 juta.
Jumlah peruntukan tersebut adalah seperti yang termaktub dalam Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 dibentangkan dan dibaca buat kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Rang undang-undang tersebut dibacakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Rang undang-undang berkenaan dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beberapa kementerian telah disusun semula dan dinamakan semula dan beberapa kementerian baharu telah ditubuhkan serta satu kementerian telah dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan kepada kementerian lain.
Rang undang-undang berkenaan dibentangkan bagi memperuntukkan semula suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian tahun 2018.
Akta itu juga memperuntukkan jumlah wang berkenaan untuk maksud-maksud tertentu bagi bahagian tahun yang sama.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong turut membentangkan dan membaca buat kali pertama Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat.
Pemansuhan akta berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan apa-apa perintah yang dibuat di bawah akta yang dimansuhkan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memutuskan kedua-dua rang undang-undang berkenaan akan dibacakan buat kali kedua dan dibahaskan pada persidangan kali ini.
-UTUSAN ONLINE










