Jangan ubah dasar 
jika tiada ilmu - Utusan Malaysia

Jangan ubah dasar 
jika tiada ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 7 Ogos – Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra mengingatkan wakil rakyat supaya mempunyai ilmu yang secukupnya mengenai Perlembagaan dan sejarah negara sekiranya berhasrat untuk me­ngubah dasar-dasar sedia ada.

Baginda bertitah, tanpa ilmu, tindakan mengubah dasar secara membuta tuli akan mengundang pertelingkahan serta perpecahan yang berpanjangan.

Malah, baginda menzahirkan kegusaran terhadap situasi semasa yang menyaksikan rakyat, khususnya generasi muda tidak dididik dengan secukupnya me­ngenai konsep Persekutuan dan Perlembagaan Malaysia di mana sepatutnya kedua-dua perkara itu menjadi subjek wajib merentasi fakulti serta kurikulum di semua pusat pengajian tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tiba masa, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan kursus khas Perlembagaan, konsep Rukun Negara dan dasar-dasar negara me­rangkumi ekonomi, pendidikan serta sosial untuk wakil rakyat.

“Soal mengubah atau tindakan melakukan perubahan sesuatu dasar, biarlah mereka itu terlebih dahulu mempunyai pengetahuan dan ilmu yang cukup mengenai sesuatu perkara. Jangan sekali-kali sesuatu dasar diubah, tetapi akhirnya mengundang perkelahian dan perpecahan yang memanjang,” titah baginda.

Baginda ketika menyampaikan ucaptama dalam Seminar Peranan Raja-Raja Melayu Dalam Menyatukan Rakyat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Yang turut berangkat ke maj­lis itu ialah Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan turut dihadiri, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, per­kara-perkara asas yang terkandung dalam Perkara 153 Per­lembagaan Persekutuan perlu terus dipertahankan dan tidak berkompromi walaupun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Baginda bertitah, Perlembaga­an Persekutuan yang menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum lain jangan sama sekali disensasikan oleh mana-ma­na pihak.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra turut menggesa pihak tertentu supaya berhenti melaungkan tuntutan-tuntutan berasaskan kaum, sebaliknya mencari jalan mengukuhkan perpaduan negara di bawah naungan institusi diraja.

“Beta perhatikan, jika perbezaan dipupuk dan tuntutan berasaskan kaum dilaungkan tanpa henti, alamatnya perpecahan akan terjadi.

“Jika sesebuah negeri atau negara tidak dibina dengan landasan ilmu atau sekadar mengikut selera lidah pimpinan secara ad-hoc, tentu jurang polarisasi kaum bertambah luas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini