KOTA KINABALU – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa hari ini mengingatkan semua penjawat awam agar tidak sekali-kali berkongsi sebarang maklumat atau dokumen sulit kerajaan di media sosial.
Beliau berkata, penjawat awam terikat dengan Akta Rahsia Rasmi oleh itu hendaklah sentiasa bertanggungjawab menyimpan rahsia sulit kerajaan dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam pengurusan serta pengendalian dokumen-dokumen kerajaan.
Katanya, ini penting kerana ia melibatkan integriti penjawat awam yang bukan sahaja terhad kepada isu melibatkan rasuah tetapi juga dalam pengurusan dokumen sulit kerajaan.
“Saya minta penjawat awam berhati-hati bila memegang apa-apa dokumen rahsia sulit kerajaan. Penjawat awam juga perlu tahu apakah maklumat yang boleh didedahkan dan tidak boleh didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam Sabah di sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Nordin Siman dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali. – Bernama











