KUALA LUMPUR 7 Ogos – Satu usul berhubung mengecam tindakan Israel ekoran insiden penahanan Kapal Al-Awda termasuklah penangkapan rakyat Malaysia telah diserahkan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
![]() |
|
NURUL IZZAH ANWAR
|
Usul tersebut diserahkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada 23 Julai lalu.
Katanya, keputusannya untuk menghantar usul tersebut adalah bagi membolehkan perkara itu dibenarkan untuk dibangkitkan ke kamar khas supaya satu persetujuan secara holistik dapat dicapai.
“Permohonan kami kepada kerajaan Malaysia adalah supaya usul mengecam tindakan Israel dapat diangkat termasuklah penangkapan terhadap rakyat kita, warga lain dalam Dewan Rakyat utama, supaya dapat dikecam secara kolektif oleh semua ahli Parlimen Malaysia.
“Maka, saya telah menghantar permohonanan itu. Kita fikir isu ini amat penting memandangkan sebelum ini tidak disentuh isu Jerusalem,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media Parlimen, hari ini.
Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia, Dr. Mohd Afandi Salleh yang juga merupakan aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyertai misi flotila ke Gaza ditahan dan dipenjarakan secara haram oleh rejim Israel. – UTUSAN ONLINE











