Issey pilih Suria FM - Utusan Malaysia

Issey pilih Suria FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 6 Ogos – Tindakan pelakon dan pelawak Issey Fazlisham meninggalkan Hot FM lebih awal tidak ada kaitan dengan tawaran yang diterimanya daripada stesen radio Suria FM.

Bekas penyampai radio Hot FM, Issey Fazlisham kini bersama Suria FM.

Kata Issey, kontraknya bersama Hot FM masih berbaki beberapa bulan lagi tetapi keputusan menamatkan tugasnya di stesen tersebut dibuat untuk memberi fokus kepada kerjaya lakonan yang sebelum ini tertangguh.

“Saya sepatutnya habis kontrak pada Mac tahun depan tetapi saya pilih meninggalkan Hot FM lebih awal sebab mahu beri fokus kepada kerjaya di televisyen. Di Hot FM, saya bersiaran sebelah petang jadi agak sukar untuk merencanakan jadual.

“Saya akui meninggalkan Hot FM satu keputusan yang berat tetapi keputusan ini saya anggap satu kelangsungan buat kerjaya saya.

“Tawaran dari Suria FM hanya datang selepas saya menamatkan kontrak dengan Hot FM. Saya anggap ini satu kebetulan kerana di Suria FM, saya hanya bersiaran pada waktu pagi,”katanya.

Bakal bergandingan dengan Shahrol Shiro dan Fizi Ali, kali ini Issey akan memeriahkan rancangan pagi di stesen tersebut. Mengakui selesa dengan gandingan ini, kata Issey lagi perubahan waktu bersiaran bukan suatu masalah untuk dia.

“Jika sebelum ini saya bersiaran pada waktu petang kali ini saya akan memulakan tugas untuk slot Team Suria Pagi pada pukul 6 pagi setiap hari, saya anggap ini satu cabaran.

“Soal serasi, rasanya tidak ada masalah sebab kami masing-masing mempunyai tugas yang berbeza dalam menarik minat pendengar,” katanya.

Sementara itu Pengurus Kanan Program Suria, Roslinda Abd. Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin memberitahu gabungan Fizi, Shahrol dan Issey adalah satu lagi formula terbaharu Suria dalam membantu menaikkan jumlah pendengar di stesen radio tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN