Ismail Sabri nafi pelantikannya ditolak Ketua UMNO Bahagian di Selangor - Utusan Malaysia

Ismail Sabri nafi pelantikannya ditolak Ketua UMNO Bahagian di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan perlantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor tidak dipersetujui oleh majoriti ketua bahagian parti itu di negeri ini.

Beliau berkata, isu berkenaan sengaja ditimbulkan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi melemahkan kekuatan UMNO Selangor.

Katanya, ini berikutan pelantikan itu dilakukan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Saya sudah melakukan mesyuarat bersama semua ketua bahagian di negeri dan tiada isu berbangkit mengenai pelantikan saya.

“Isu ini timbul secara tiba-tiba semasa kita sedang berkempen dalam PRK DUN Sungai Kandis,” katanya ketika ditemui pemberita pada program ziarah kasih di Kampung Jawa di sini hari ini.

Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 14 Julai lalu bagi menggantikan Tan Sri Noh Omar.

Akhbar sebelum ini melaporkan majoriti Ketua UMNO Bahagian di Selangor menolak pelantikan beliau ke jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu tiada kenyataan rasmi daripada Pas dalam menyatakan sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dalam PRK DUN berkenaan, Ismail Sabri menegaskan perkara itu tidak diperlukan sebaliknya pendirian sama menolak Pakatan Harapan.

“Beberapa ucapan pemimpin Pas termasuk Ketua Penerangan parti itu, Nasrudin Hassan Tantawi sebelum ini  menyatakan sokongan kepada Lokman Noor dalam PRK berkenaan.

“Malah calon kita (Lokman Noor) turut hadir di ceramah yang berlangsung markas mereka tanpa apa-apa halangan dan itu sudah cukup melihatkan mereka (Pas) bersama kita (BN), slogan mereka ‘asalkan bukan PH, kita juga punyai slogan yang sama dan saya yakin mereka akan membantu kita,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN