JAGUH lompat bergalah negara, Iskandar Alwi mempunyai pelan B jika namanya tidak disenaraikan dalam kontinjen negara menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula 18 Ogos ini hingga 2 September depan.
![]() |
|
ISKANDAR enggan meletakkan harapan tinggi mengenai peluangnya untuk menyertai kontinjen negara ke Sukan Asia di Indonesia pertengahan bulan ini.
|
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim minggu lalu merayu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar nama Iskandar dan dua lagi atlet negara dapat disenaraikan ke Sukan Asia 2018 atas tiket kategori B meskipun masa sudah semakin suntuk.
Enggan menaruh harapan tinggi, Iskandar, 24, yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 5.31 meter (m), menyerahkan perkara itu kepada jurulatihnya, Manshahar Abd. Jalil sambil mendedahkan mempunyai pelan B andai namanya gagal disenaraikan.
“Saya serahkan segalanya kepada Cikgu Man (Manshahar), terpulang sama ada saya disenaraikan atau tidak. Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi, jika dia dapat pastikan nama tersenarai, saya akan pergi Sukan Asia 2018.
“Persiapan memang sudah lama dilakukan kerana sasaran utama tahun ini ialah Sukan Asia 2018. Situasi ini menyebabkan tujuan latihan saya sekarang tidak jelas, daripada saya pening kepala, saya serahkan kepada Cikgu Man.
“Andai kata tidak dapat pergi, saya dan Cikgu Man mempunyai perancangan kedua tetapi buat masa ini tidak boleh dedahkan lagi. Tunggu keputusan rayuan (KOM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Baki dua lagi nama yang sedang menanti keputusan rayuan KOM ialah jaguh 110m lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian dan atlet baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer.
Sebagai rekod, Iskandar yang pernah memenangi satu pingat perak dan dua gangsa Sukan SEA, meraih tempat kelapan selepas melepasi had ketinggian 5.10m pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.











