KUALA LUMPUR 7 Ogos – International Republican Institut (IRI) menolak laporan media tempatan bahawa organisasi itu menjalinkan kerjasama dengan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
IRI dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya adalah organisasi bukan partisan yang menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia sejak tahun 2002 bagi memperkukuhkan keupayaan parti politik dalam pilihan raya serta mematuhi amalan urus tadbir baik.
Ujarnya, IRI turut memberi kapasiti sokongan pembangunan kepada parti politik merentas spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan dan rundingan untuk PH dan BN.
“Aktiviti seperti ini menarik penglibatan dari seluruh spektrum politik dan sosial, selain turut memasukkan inisiatif meningkatkan penyertaan belia dalam bidang politik dan sivik bagi mengukuhkan keupayaan organisasi masyarakat sivil Malaysia.
“Melalui usaha ini, IRI membantu rakyat Malaysia untuk memegang tanggungjawab dalam memilih dan menyampaikan kebimbangan kepada kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini – UTUSAN ONLINE









