IRC serah laporan akhir kepada kerajaan - Utusan Malaysia

IRC serah laporan akhir kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR  – Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang ditubuhkan bagi memberi syor pembaharuan kepada kerajaan terhadap beberapa institusi utama negara telah menyerahkan laporan akhirnya kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata jawatankuasa berkenaan yang dianggotai lima tokoh pemimpin dan pakar dalam pelbagai bidang juga memberi taklimat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Julai lepas mengenai cadangan-cadangan yang terkandung dalam laporan akhir berkenaan.

“Dengan penyerahan laporan ini, jawatankuasa ini telah pun mencapai mandat mereka sebelum tempoh 100 hari yang ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu bila laporan terakhir dan laporan tambahan IRC yang telah diserahkan kepada CEP dan JPM akan didedahkan kepada anggota Parlimen dan orang awam. 

IRC ditubuhkan pada 15 Mei lepas dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan K C Vohrah; bekas hakim mahkamah rayuan dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Mohd Arshad Raji;
Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga dan pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN