NEW DELHI 1 Ogos – India mengarahkan vaksin penyakit anjing gila atau rabies yang dihasilkan oleh syarikat dari China, ditarik balik dari pasaran negara ini susulan kes penghasilan vaksin palsu.
Pegawai badan pengawal dadah, S Eswara Reddy memberitahu AFP bahawa proses mengimport semua vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat Changchun Changsheng antara yang turut dihentikan, selepas syarikat tersebut didapati memalsukan pelbagai maklumat penting dalam menghasilkan vaksin berkenaan.
“Buat masa ini, kami sudah menghentikan pengimportan vaksin rabies. Siasatan mengenainya juga giat dijalankan dan semua proses import adalah dilarang sama sekali sehingga semua perkara selesai.
“Mana-mana vaksin yang sudah diimport akan ditarik balik dari pasaran,” katanya.
Penyakit anjing gila dianggarkan sudah mengorbankan kira-kira 20,000 mangsa di India setiap tahun. – AFP










