Harga belangkas cecah RM30 seekor - Utusan Malaysia

Harga belangkas cecah RM30 seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEPAT pukul 11.30 tengah hari, kebiasaannya Nizam Mat, 43, akan mempersiapkan diri untuk turun ke pesisiran pantai Kampung Panchor, Kota Tinggi, Johor bagi melakukan aktiviti wajibnya menangkap belangkas.

Mengambil masa hampir 10 minit berjalan kaki dari rumahnya yang terletak di Kampung Panchor, Mohd. Nizam membawa guni beras untuk mengisi belangkas.

Sejak umur enam tahun, dia sudah diajar oleh bapanya dan orang kampung cara-cara menangkap belangkas.

“Dahulu orang kampung menangkap belangkas untuk dimakan sebab rasanya enak. Kini, belangkas ditangkap untuk dijual.

“Harga belangkas sekitar tahun 1980-an hanya 50 sen sebab itu orang kampung kurang menangkapnya tetapi kini harga boleh mencecah RM17 hingga RM25 sekilogram,” jelas pekerja buruh kampung itu.

Mohd. Nizam menambah, belangkas yang sifatnya bermusim muncul ke pesisiran pantai dua kali sebulan iaitu pada hari 14, 15 dan 16 hari bulan serta hujung bulan.

Penangkapan belangkas tidak begitu sukar kerana ia bukan binatang pemangsa ataupun penyerang manusia.

“Biasanya, penangkapan belangkas mempunyai dua kaedah iaitu menggunakan jaring atau tangan tetapi orang kampung menggunakan tangan.

“Ia bagi mengelakkan daripada kemusnahan habitat lain yang ada di dasar laut seperti batu karang, lumut dan ikan. Penggunaan jaring pula akan menjadikan seseorang itu monopoli dan nelayan lain tidak berkesempatan,” ujarnya bapa kepada empat orang anak itu.

Belangkas merupakan haiwan yang mengeluarkan buih ketika berenang di dasar pantai.

“Apabila buih itu timbul di permukaan, ia merupakan cara nelayan untuk mengesan kehadiran belangkas tersebut tetapi perlu berhati-hati kerana ular air juga mengeluarkan buih.

“Apabila nampak buih tersebut, biasanya saya akan terjun dan terus menyelam ke dasar untuk menangkap belangkas itu,” katanya.

Dari segi teknik penangkapan pula, selalunya kita akan menekan belangkas tersebut supaya tidak bergerak dan sambil mencapai ekornya yang tajam itu agar tidak terkena tangan.

“Masa yang harus diambil untuk mengelakkan belangkas itu lari adalah satu hingga lima saat dan biasanya mereka berjaya menangkap antara mencecah enam hingga 20 ekor belangkas sehari,” ujarnya.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu belangkas merupakan sajian enak sama seperti makanan laut lain.

Ketika ini, ribuan belangkas ditangkap oleh nelayan tempatan untuk dijadikan menu istimewa. Di Malaysia, belangkas betina lebih digemari kerana telurnya.

Oleh itu, bagi memastikan populasi belangkas tidak pupus, pemeliharaan dan pemuliharaan belangkas secara mampan perlu dipertingkat.

Salah satu usaha pemuliharaan dijalankan di Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor sejak lebih tiga dekad lalu.

Pusat Penternakan dan Penetasan Belangkas (PPBS), Sedili Kecil yang terbesar di rantau Asia diusahakan oleh Ahmad Mustafa dan keluarganya sejak tahun 1984.

Pembenihan

Menurut Pengurus PPBS Khairul Idham Ahmad, pusat tersebut telah melalui beberapa fasa setelah dinaik taraf melalui kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili dengan peruntukan yang disalurkan oleh beberapa agensi kerajaan.

Antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sedili.

“Saya merupakan generasi ketiga yang menyambung projek ternakan ini.

“Kami melakukan pembenihan belangkas sejak tahun 2006. Belangkas akan dilepaskan ke laut untuk kemudahan generasi akan datang khususnya bagi membantu golongan nelayan sebagai sumber rezekinya,’’ ujarnya sambil memberitahu tempoh matang belangkas adalah 14 tahun.

Menurutnya, keluasan pusat itu adalah 0.61 hektar dan mempunyai 10 buah kolam ternakan yang bersaiz 15×15 dan 20×40 meter persegi.

Pihaknya menggunakan air dari Sungai Sedili yang ditapis sebelum disalurkan ke kolam.

“Belangkas di dalam kolam tidak memerlukan air yang banyak, cukup antara dua hingga empat meter dengan tahap kemasinan 28pH.

“Setiap belangkas betina yang dijual akan diikat tali pada ekor untuk menanda jantinanya selain mudah untuk ditangkap,” ujarnya yang mempunyai empat orang pekerja.

Galeri

Lazimnya, pihaknya akan menjual belangkas yang dibeli daripada nelayan pada harga RM15 seekor kepada pembeli dari Thailand.

Nilai bulanan jualan belangkas di Thailand hampir mencecah RM90,000 dengan belian sebanyak 3,000 ekor belangkas sebulan.

Hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan, pusat ternakan itu menubuhkan sebuah galeri yang menceritakan tentang sejarah belangkas.

Galeri tersebut dibuka sejak tahun lalu untuk memudahkan pelancong-pelancong mengetahui latar belakang belangkas.

“Kami menerima ramai pelancong dari pelbagai negeri dan luar negara. Antaranya delegasi dari China, Indonesia dan Thailand,” jelas pemuda yang berumur 22 tahun itu.

Sementara itu, Mohd. Effendy Yusof yang merupakan seorang pemandu pelancong alam sekitar di Johor Bahru, Johor, berkata, di sesetengah tempat, belangkas amat popular sebagai makanan. Bahkan sudah ada kajian mengenainya terutama darah belangkas yang mempunyai nilai perubatan.

Katanya, belangkas dikenali sebagai haiwan fosil yang masih hidup.

Maksud fosil pada dasarnya adalah bangkai atau barang-barang peninggalan berabad tahun lamanya seperti haiwan, tumbuhan dan manusia yang sudah tidak bernyawa.

“Berbeza dengan belangkas ini, ia salah satu haiwan yang hidup hampir 400 juta dahulu tetapi tidak lagi pupus habitatnya.

“Empat spesies belangkas yang masih wujud ialah Carcinoscorpus rotundicauda, Tachypleus gigas, Tachypleus tridetotus dan Limulus polyphemus.

“Tiga spesies yang terdapat di Asia pula ialah Carcinoscorpus rotundicauda yang boleh ditemui di kawasan paya manakala Tachypleus gigas dan Tachypleus tridetotus di pinggiran pantai,” jelasnya.

Kehadiran belangkas di Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi ditemui di Sungai Tong Seh (Tuan Seh) pada tahun 1970. Belangkas banyak ditemukan di pesisir pantai Sedili Kecil.

Pada masa itu, selain tidak dikomersialkan, ia juga tidak mempunyai nilai di pasaran kecuali individu yang makan belangkas yang dijual 15 sen seekor.

Namun, kini permintaan belangkas tinggi kerana darahnya. Malah di Amerika Syarikat darah tersebut mencecah harga RM17,500 satu liter.

“Mereka bukan seperti kita tangkap untuk makan tetapi lebih kepada uji kaji dalam industri perubatan

Bagaimanapun, untuk mendapatkan satu liter darah belangkas kita harus menangkap hampir 115 ekor belangkas kecuali di Sabah dan Sarawak yang hanya perlu 45 ekor kerana saiz di sana besar,” jelasnya.

Darah belangkas digunakan sebagai endotoksin iaitu zat beracun yang dikeluarkan daripada bakteria.

“Lisat amoebosit daripada darah belangkas dikenal pasti mampu mengesan bakteria gram negatif dalam kuantiti yang sangat kecil,” jelasnya.

Menurut Effendy, kesedaran tentang belangkas dalam kalangan orang muda penting demi survival haiwan yang telah hidup selama 400 juta tahun juta itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN