Guna dron cuba bunuh Maduro - Utusan Malaysia

Guna dron cuba bunuh Maduro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS 6 Ogos – Enam orang ‘pengganas dan pembunuh upahan’ ditahan di Venezuela selepas dituduh cuba membunuh Pre­siden, Nicolas Maduro dalam satu serangan menggunakan dron, lapor kerajaan semalam.

NICOLAS MADURO
NICOLAS MADURO

Menteri Dalam Negeri dan Keadilan, Nestor Reverol mengumumkan penangkapan tersebut di saluran televisyen rasmi negara itu, mene­gas­kan lebih banyak lagi tangkapan akan di­buat dalam masa terdekat.

Menurut Reverol, tiga anggota tentera berada dalam keadaan kritikal dan empat lagi cedera dalam serangan yang dikatakan melibatkan penggunaan dua buah dron kawalan jauh Sabtu lalu.

Setiap dron berkenaan membawa sekilogram bahan peledak plastik C4, yang dikatakan mampu menyebabkan kerosakan besar dalam lingkungan kawasan 50 meter.

Reverol berkata, sebuah dron terbang di ruang udara di mana Maduro sedang berucap tetapi kelihatan seperti ‘mengalami gangguan isyarat kawalannya’ dan diaktifkan luar perimeter kawasan pembunuhan yang dirancangkan.

Dron kedua pula hilang kawalan sebelum jatuh di bangunan berdekatan tetapi Maduro yang berdiri bersama-sama isterinya di pentas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Riverol menyifatkannya sebagai jenayah keganasan dan pembunuhan sambil menegaskan dalang di dalam dan di luar negara telah dikenal pasti.

Maduro berikrar mengenakan hukuman maksimum kepada pihak yang cuba membunuhnya dan menuding jari kepada Presiden Colombia, Juan Manuel Santos dan kumpulan ultra kanan, istilah yang digunakan untuk menggambarkan pembangkang domestik, walaupun sebuah kumpulan pembe­rontak misteri mengaku tanggungjawab terhadap kes itu.

Nicmer Evans, bekas penyokong kerajaan dan kini pemimpin parti pembangkang Frente Amplio menyatakan kebimbangannya tindakan kerajaan itu akan membuka ‘pintu kepada penganiayaan dan gelombang penindasan’.”

Kebimbangan itu disuarakan selepas Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino Lopez menyua­rakan ke­setiaan tanpa syarat dan tidak terbatas kepada Maduro sebagai Ketua Komander Tentera Venezuela.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN