MATARAM, Indonesia 6 Ogos – Angka kematian akibat gempa bumi di Lombok semalam dijangka meningkat apabila berita mula diterima dari kawasan yang terputus hubungan, terutamanya di kawasan utara di mana pusat gempa itu berpusat.
Setakat ini, jumlah kematian yang direkodkan adalah seramai 91 orang.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), bekalan elektrik dan perhubungan masih terputus di beberapa kawasan, dengan pasukan tentera telah menghantar sebuah kapal bantuan yang dipenuhi dengan bekalan perubatan dan logistik ke pulau peranginan berkenaan.
Tiada warga asing yang terbunuh dengan jumlah yang tercedera masih kekal seramai 209 orang, kata jurucakap BNPB Sutopo Purwo Nugroho dalam satu sidang akhbar, di sini.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisik (BMKG), kawasan tersebut turut dilanda lebih daripada 120 gegaran susulan sejurus gempa bumi semalam.
Semalam, satu gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter sekali lagi menggegarkan pulau peranginan tersebut, kali kedua dalam seminggu selepas satu gempa berukuran 6.4 pada skala Richter berlaku pada 29 Julai lalu yang mengorbankan 17 nyawa.
Sementara itu, suasana di lapangan terbang bandar di Mataram penuh sesak dengan pelancong asing yang cuba meninggalkan destinasi percutian tersebut.
Garuda Indonesia menyebut, pihaknya akan menambah jumlah penerbangan keluar dari Lombok bagi membantu para pelancong meninggalkan pulau tersebut.
CEO Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes dalam akaun Twitter beliau berkata, pihaknya akan cuba untuk menambah jumlah jadual penerbangan, manakala Lion Air dan Citilink menyebut terdapat permintaan yang tinggi daripada penumpang untuk meninggalkan Lombok dan Bali. – REUTERS










