SUNGAI PETANI 6 Ogos – Insiden gempa bumi terbaharu yang melanda Lombok semalam turut mencetus saat-saat mencemaskan sekumpulan aktivis masyarakat dari Malaysia yang kebetulan berada di pulau peranginan itu bagi misi bencana alam kepada penduduk setempat sejak Jumaat lepas.
Menceritakan peristiwa itu salah seorang daripada mereka, Natipah Abu, 45, berkata, kejadian berlaku ketika mereka yang menyertai misi Muslim Care Malaysia (MCM) itu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok untuk pulang ke tanah air.
“Selesai misi bantuan dan perubatan di kawasan bencana, kami melawat Pondok Pasantren Assohwah Islamiah di Bile Tepung, tidak jauh dari bandar Mataram, untuk menyampaikan sedikit bantuan, kemudian kumpulan kami terus ke lapangan terbang dan sampai di sana sekitar pukul 6.30 petang.
“Ketika kami melepasi pemeriksaan imigresen pukul 7. 45 petang itulah terasa gegaran yang kuat yang berlaku dalam beberapa saat. Suasana amat menakutkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, satu gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter sekali lagi menggegarkan pulau peranginan tersebut, kali kedua dalam seminggu selepas satu gempa berukuran 6.4 pada skala Richter berlaku pada 29 Julai lalu yang 17 nyawa. Insiden terbaharu mengorbankan lebih 91 nyawa setakat ini.
Bercerita lanjut katanya, mereka pada mulanya menyangkakan ia gegaran daripada pesawat yang mendarat sebelum suasana menjadi cemas apabila orang ramai mula berlari dan menjerit mencari tempat perlindungan.
“Gegaran makin kuat dan dalam keadaan ketakutan kami berlari ke arah luar balai berlepas. Di mulut ini hanya menyebut Allah sambil mata tidak lekang memandang ke atas kerana risau sekiranya ada serpihan bumbung dan sebagainya jatuh menimpa kepala.
“Kumpulan kami masing-masing terpisah dan kedengaran tangisan di sana sini, ramai yang terjatuh kerana dirempuh dan terlanggar objek, di dalam hati hanya teringat kematian yang mungkin terjadi,” kata Natipah.
Katanya, setelah keadaan reda dan tenang, dengan pertolongan pihak imigresen masing-masing mendapatkan semula pasport dan beberapa barangan yang hilang ketika menyelamatkan diri sebelum memasuki pesawat dan berlepas pulang ke tanah air.
Kumpulan MCM selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada pukul 1 pagi tadi.
Sebanyak 18 aktivis MCM berlepas ke Lombok untuk menjalankan misi bantuan bencana perubatan dan kecemasan berikutan kejadian gempa bumi terutamanya di Sembalun Lawang, kaki gunung Puncak Rinjani.-UTUSAN ONLINE










