Gempa: Adam Shadan tekad terjun bangunan - Utusan Malaysia

Gempa: Adam Shadan tekad terjun bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Ogos – “Saya ingatkan malam tadi saya akan mati, syukur Alhamdulillah… Allah masih panjangkan umur selepas diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan warga tempatan.”

Itulah kata-kata yang keluar dari mulut pelakon drama Ti Amo Sweet Heart 100 Hari, Adam Shadan, 27, yang terselamat daripada gempa bumi yang melanda Lombok, Indonesia pada pukul 8 malam semalam.

Menurut Adam atau Mohamad Shahaadan Che Seman, dia dan seorang lagi rakan pelakon, Ikhram Juhari sedang bercuti bersama-sama tiga sahabat mereka di Pulau Gili Trawangan sejak Khamis lalu.

“Ketika bencana berlaku, saya dan rakan-rakan baru sahaja tiba di sebuah restoran untuk menikmati juadah makan malam.

“Belum sempat membuat tempahan, tiba-tiba gempa melanda dengan begitu kuat lalu membuatkan kami panik dan lari menyelamatkan diri masing-masing.

“Restoran tersebut yang berada di tingkat satu bangunan dan terdapat ramai pelanggan.

“Keadaan menjadi huru-hara kerana semuanya berebut-rebut menggunakan tangga menuju jalan keluar di tingkat bawah.

“Disebabkan terlalu cemas, saya dan rakan-rakan tekad terjun dari tingkat satu restoran berkenaan dan lari ke puncak bukit berdekatan mencari tempat perlindungan,” ceritanya berkongsi pengalaman.

Tambahnya, mereka semua tidur di atas puncak bukit tersebut bersama-sama pelancong lain yang terselamat sehinggalah dijumpai pasukan keselamatan pada awal pagi tadi.

Adam yang pernah membintangi drama Titian Cinta itu menambah, dia dan rakan-rakan kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok dan bakal berangkat pulang malam ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN