Enggan guna kondom punca HIV menular - Utusan Malaysia

Enggan guna kondom punca HIV menular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kedegilan individu yang mengamalkan seks songsang tanpa menggunakan kondom khususnya melibatkan golongan homoseksual dan biseksual menjadi punca utama penularan HIV dalam golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada tahun lalu.

Majoriti masalah tersebut membabitkan lelaki berikutan hanya dua kes daripada 1,697 individu yang dijangkiti HIV dalam kategori homoseksual dan biseksual adalah wanita, di negara ini berdasarkan statistik Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Pe­nyakit, Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh ber­kenaan.

Namun persoalannya, adakah golongan terbabit sememangnya tidak mahu menggunakan perlindungan ketika melakukan hubungan sejenis itu atau benar-benar tidak tahu tentang fungsi sebenar penggunaan kondom.

Ini kerana, mengikut pecahan jenis pekerjaan bagi kes baharu dijangkiti HIV, golongan ter­tinggi adalah kakitangan swasta iaitu 1,085 orang yang merupakan kumpulan profesional berbanding kumpulan lain yang jumlah jauh lebih rendah termasuk pelacur hanya 24 kes.

Bagaimanapun, Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah memaklumkan, jangkitan menerusi hubungan seks membabitkan kumpulan heteroseksual iaitu lelaki dengan wanita turut mencatatkan jumlah kes baharu kedua tertinggi.

“Masalah sekarang mungkin ramai yang ingat penggunaan kondom ha­nya adalah sebagai pencegahan kehamilan sedangkan kondom mampu menjadi perlindungan sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti virus tersebut.

“Maka dengan adanya kesedaran melakukan hubungan seks dengan selamat menggunakan kondom serta pendidikan seks daripada awal pasti mampu untuk menurunkan penularan HIV,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Bakhtiar, masalah tersebut adalah cabaran baharu berbanding masalah penularan HIV menerusi perkongsian jarum yang berjaya diatasi hasil program dijalankan.

“Tetapi sekarang kita perlu berhadapan dengan cabaran baharu iaitu bagi menerapkan pendidikan seks yang rata-rata masih ramai yang mempunyai stigma negatif terhadap pelaksanaannya.

“Melalui pendidikan seperti itu, bukan sahaja jangkitan virus HIV dapat dikurangkan namun pelbagai gejala sosial juga dapat diatasi seperti masalah anak luar nikah, seks bebas juga penyakit kelamin berkaitan seks.

“Masyarakat kini lebih faham akan masalah tersebut dan de­ngan adanya kempen kesedaran, gerakan sosial serta pendidikan akan mampu mencapai sasaran sifar kes baharu menjelang 2030,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN