IPOH 6 Ogos – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara-perkara asas yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahankan dan tidak berkompromi walaupun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain jangan sama sekali disensasikan oleh mana-mana pihak.
Sultan Nazrin bertitah, perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka tersebut akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmoni yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.
“Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan negara.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, telah 88 hari berlalu selepas PRU-14, semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan dan majoriti pengundi telah berani mengambil risiko melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlakunya perubahan yang akan membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.
Titah baginda, kini era berkempen telah berakhir, maka kerajaan perlu memenuhi harapan, amanah rakyat dan melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.
“Majoriti pengundi yang memilih untuk menukar kerajaan, mahukan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik maka kerajaan yang telah beta beri perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan rakyat hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.
“Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk meraut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kerajaan negeri akan memberi fokus melaksanakan program dan projek serta akan terus meneroka sumber hasil baru namun dalam hasrat meningkatkan hasil yang lebih tinggi, kerajaan akan berhati-hati untuk ‘tidak membunuh angsa yang melahirkan telur emas’.
Titah baginda, dalam hasrat meningkatkan hasil, kerajaan tidak akan mengeksploitasi secara keterlaluan sumber-sumber semula jadi hingga ke peringkat boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Pada masa yang sama kerajaan akan turut memperincikan belanja mengurus, merintis usaha berjimat cermat untuk meminimumkan perbelanjaan di samping mengoptimumkan tahap produktiviti jentera pentadbiran,” titah baginda.










