Didenda RM2,500 proses makanan haiwan tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Didenda RM2,500 proses makanan haiwan tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT – Seorang pengusaha ladang ternakan khinzir hari ini didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan menjalankan kegiatan memproses makanan haiwan tanpa sijil yang sah dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Mac tahun ini.

Majistret Mohd. Syafiq Mustaza turut memerintahkan tertuduh Ng Boon San, 59, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh yang telah menjalankan kegiatan itu selama 30 tahun membayar denda terbabit.

Menurut fakta kes, kegiatan tertuduh terbongkar apabila tiga pegawai Jabatan Veterinar Johor menemukan mesin memproses makanan haiwan ketika membuat pemeriksaan di ladang tertuduh di Jalan Tanjung Labuh di sini, kira-kira 10.30 pagi, 12 Mac lepas.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh tidak mempunyai Sijil Pendaftaran Pembuatan dan Penjualan Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan yang melayakkannya menjalankan aktiviti terbabit.

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Makanan Haiwan (Pembuatan dan Penjualan Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan) 2012 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun  atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, di dalam rayuannya, Boon San yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan ini  kesalahan pertama selain telah memohon sijil diperlukan pada 7 Mei  lalu  selepas ladangnya diperiksa. – Bernama

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN