KUALA LUMPUR 6 Ogos – Penyanyi kontroversi, Demi Lovato akhirnya bersetuju untuk dimasukkan ke pusat pemulihan dadah setelah dia ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai kerana pengambilan bahan terlarang itu secara berlebihan.
Memetik laporan TMZ, sebelum ini Lovato yang kini semakin stabil menolak untuk dimasukkan ke pusat pemulihan sekali gus membuatkan ahli keluarga dan rakan terdekat risau dengan sikap penyanyi Stone Cold itu.
Bagaimanapun, demi menyelamatkan penyanyi itu, ahli keluarga dan rakan terdekat nekad ‘mengugut’ untuk meninggalkan penyanyi itu jika dia terus enggan ke pusat pemulihan.
“Kalau dia terus berdegil dan tidak bersetuju dengan keputusan kami, dia boleh meninggal dunia kerana bahan terlarang itu. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan dia,” kata salah seorang sumber.
Dalam pada itu, Lovato yang pada mulanya berkeras akhirnya bersetuju dan bakal menjalani rawatan di pusat pemulihan selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Lovato dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi. Selepas itu, dia akan terus ke pusat pemulihan untuk menjalani rawatan ketagihan dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










