KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan profesional, Liew Daren akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei bagi membawa cabaran negara pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September depan.
Terdahulu, BAM membuat kejutan dengan menyenaraikan pemain muda Cheam June Wei, kini berada di ranking ke-79 dunia bagi menggantikan tempat Chong Wei yang terpaksa menarik diri dari temasya sukan berkenaan ekoran mengalami masalah berkaitan pernafasan.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya terpaksa menggugurkan June Wei dengan menyenaraikan Daren pada Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) di Jakarta hari ini.
“Maksudnya dalam acara perseorangan lelaki kita akan diwakili Daren dan Lee Zii Jia. Dari segi lain tidak ada perubahan termasuk juga sasaran dua pingat tanpa kira warna. Kita juga tidak mahu beri tekanan kepada pemain,” kata Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas majlis penajaan oleh BATA kepada kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Wisma OCM di sini hari ini.
BATA menyediakan 650 pasang kasut jenama Power dan 650 pasang kasut kulit dengan nilai keseluruhan RM130,000. – Bernama











