PENGUASAAN Jepun dalam Sukan Asia berakhir pada 1982 di New Delhi yang menyaksikan China muncul sebagai kuasa baharu apabila menjadi juara keseluruhan.
Selepas cemerlang menjuarai Sukan Asia sejak 1951, Jepun terpaksa akur berada di kedudukan kedua keseluruhan dalam Sukan Asia 1982 yang berlangsung pada 19 November hingga 4 Disember.
Sebanyak 196 acara daripada 21 jenis sukan dipertandingkan di New Delhi 1982 melibatkan penyertaan 4,595 atlet dari 33 negara.
China dinobat sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 61 pingat emas, 51 pingat perak dan 41 pingat gangsa manakala Jepun memperoleh 57 pingat emas, 52 perak dan 44 gangsa.
Satu daripada faktor Jepun gagal mempertahankan kejuaraan dalam Sukan Asia 1982 ialah disebabkan kerja keras China dalam membangunkan sukan negara mereka sejak kali pertama menyertai temasya itu pada 1974.
Walaupun Jepun gagal untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Asia 1982 tetapi negara itu tetap mendominasi lubuk pingat temasya iaitu dalam olahraga dan renang.
Dalam olahraga, Jepun meraih 15 pingat emas daripada 40 acara dipertandingkan dan mereka juga muncul juara di kolam renang selepas mengumpul 21 pingat emas daripada 29 acara.
China pula dilihat lebih banyak menguasai sukan-sukan seperti menembak, badminton, gimnastik, pingpong serta angkat berat.
Pembukaan Sukan Asia 1982 berlangsung meriah dan disempurnakan oleh Presiden India, Zail Singh di Stadium Jawaharlal Nehru.










