Buku masakan tradisional Tunku Azizah angkat warisan, seni Pahang - Utusan Malaysia

Buku masakan tradisional Tunku Azizah angkat warisan, seni Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pemang­ku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berbangga dengan penerbitan dua buku masakan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dilihat mengangkat warisan dan seni masakan tradisional negeri itu.

Tengku Abdullah bertitah, penerbitan buku yang ditulis sendiri secara eksklusif oleh Tunku Azizah itu menjadi titik permulaan kepada penubuhan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) untuk mendapatkan dana.

“Dana tersebut bagi membantu membiayai pasangan yang sukar mendapatkan anak bagi melakukan rawatan kesuburan (IVF).

“Saya amat kagum kesungguhan isteri menghasilkan buku tersebut dengan menjelajah ke seluruh daerah di Pahang mencuba pelbagai resipi dengan matlamat mendapatkan sumber kewangan (hasil jualan buku) bagi membantu insan yang inginkan zuriat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang dalam Majlis Sentuhan Diraja di sebuah hotel, di sini hari ini.

Buku yang mengandungi kira-kira 500 resipi berharga RM380 itu habis dijual sebanyak 1,000 naskhah pada majlis tersebut.

Berangkat ke majlis tersebut, Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Khalsom; Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, Tunku Azizah bertitah, minat memasak yang dipupuk sejak kecil ketika berusia enam tahun oleh ayahanda baginda iaitu Almarhum Sultan Iskandar Al Haj.

“Ketika itu saya sering membantu dengan membersihkan sayur. Saya ingat dua perkara dititahkan ayahanda iaitu pastikan makanan di istana sedap dan tidak sekadar cantik sahaja.

“Kedua pula pastikan pekerja di istana seperti polis dan pemandu diberi makanan secukupnya. Saya pula memang minat memasak dan sanggup belajar terutama dari penduduk-penduduk kampung,” titah baginda.

Baginda turut berkongsi perbelanjaan buku ini dihasilkan daripada wang pusaka ayahanda dan berharap pahala itu dapat mengalir kepada Almarhum.

“Saya harap lebih ramai membeli buku masakan ini kerana hasil jualan disumbangkan kepada TAFF untuk manfaat kepada pasangan yang mengimpikan cahaya mata,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN