SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) tidak sesekali menggunakan kempen murahan bagi meraih undi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pendekatan yang digunakan adalah lebih berprofesional dengan memberikan peluang kepada pengundi menilai sendiri dasar-dasar yang dibawa oleh beliau dalam berdepan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.
Kata beliau, sekiranya mahu mempraktikkan kempen murahan adalah mudah baginya untuk menyebarkan rakaman video seorang individu dipercayai Mohd. Zawawi menari semasa kempen PRK DUN Ijok pada tahun 2007.
“Apabila orang hantar (video) itu, saya katakan tidak mungkin Mohd. Zawawi berjoget tetapi malangnya ada antara orang beliau yang menjawab bahawa video itu adalah sewaktu PRK di Ijok dan ia merupakan cerita lama yang tidak perlu dijadikan isu,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada sidang akhbar di sini semalam.
Tegas beliau, BN menentang Pakatan Harapan (PH) adalah berdasarkan polisi dan rakyat yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan sekarang boleh mengundi BN pada PRK tersebut pada Sabtu ini.










