KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kerajaan bercadang untuk mengurangkan bilangan hari cabutan khas untuk semua syarikat nombor ramalan seperti Sport Toto, Magnum, Damacai, Malaysia Pool, Sarawak Turf Club, Sandakan Turf Club dan The Rewind Corporation, tahun depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dasar baharu ini akan diumumkan dalam perbentangan Bajet 2019 yang dijangka berlangsung pada 2 November ini.
Katanya, cabutan khas diluluskan oleh kerajaan sebagai tambahan kepada cabutan biasa bagi mendapatkan sumber kewangan bagi tujuan-tujuan yang telah dipersetujui.
“Apabila cabutan khas dimulakan pada tahun 1999 sebanyak RM80.4 juta telah dikutip, manakala tahun lalu berlaku kenaikan iaitu RM238 juta, secara puratanya kira-kira RM200 juta setiap tahun.
“Tujuan wang akaun ini untuk menampung atau membiayai pelbagai program projek dan aktiviti dalam garis panduan penggunaan wang akaun amanah sumber khas Kementerian Kewangan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PKR-Kluang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan membenarkan syarikat nombor ramalan mengadakan cabutan khas setiap Selasa pada tahun depan. – UTUSAN ONLINE










