SUNGAI BULOH 8 Ogos – Tujuh keluarga pemilik tanah lot di Lorong Melati, Kuang di sini merayu Pejabat Daerah dan Tanah Gombak melanjutkan tempoh pemindahan dari kediaman kerana notis yang diberikan terlalu singkat.
Peguam mewakili penduduk, Adzly Manas berkata, pengendalian pihak berkuasa berhubung pengambil alihan tanah itu dilihat membebankan kerana penduduk diberikan masa yang terlalu singkat untuk berpindah.
“Urusan pindah tidak boleh dilakukan dalam waktu yang singkat kerana ramai juga penduduk terlibat terdiri daripada warga emas dan usaha mencari kediaman baharu juga bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Notis perintah pemindahan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu mengarahkan sebarang bentuk rumah, kediaman dan premis perlu dikosong atau dipindahkan bagi tujuan menaiktaraf persimpangan Jalan Kuang di sini.
Selain tempoh pemindahan yang didakwa terlalu singkat, penduduk, Mahathir Ahmad, 40, berkata, jumlah pampasan yang diberikan tidak setimpal kerana hanya meliputi ganti rugi kawasan halaman rumah, pagar rumah dan sedikit binaan kediamannya.
Sedangkan kerja-kerja meroboh sebahagian daripada pagar rumahnya itu nanti dibimbangi akan menjejaskan struktur binaan rumah.
“Projek pelebaran jalan itu nanti mungkin akan menjejaskan struktur rumah kerana jarak yang terlalu dekat.
“Adakah pihak kontraktor akan bertanggungjawab jika berlaku keretakan? Atau ini sebenarnya cara halus mereka mahu kami mengosongkan tanah?,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Asiah Abu, 55, berkata, dia tidak menentang usaha pembangunan infrastruktur yang mahu dilaksanakan tetapi pihak berkuasa perlu mengambil kira kebajikan dan hak penduduk.
“Perbincangan sudah dilakukan dan beberapa isu perlu diperjelas dengan teliti terutama berhubung jaminan keselamatan struktur rumah dan laluan keluar masuk sepanjang projek naik taraf dilakukan.
“Perkara ini perlu dimuktamadkan demi kebajikan penduduk yang sudah berpuluh tahun menetap di sini.
“Kami harap kerajan lebih bertimbang rasa. Beri kami lebih masa untuk berpindah,” katanya.
Penduduk warga emas, Siti Zabedah Musa, 78, berkata, dia tidak menyangka terpaksa berpindah daripada rumah yang didiami sejak lebih 40 tahun itu selepas diarahkan oleh kerajaan negeri.










