Belanda muncul juara Piala Dunia - Utusan Malaysia

Belanda muncul juara Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Belanda membuktikan status sebagai gergasi No. 1 dunia apabila merangkul kejuaraan Piala Dunia Hoki Wanita 2018 de­ngan membelasah Ireland 6-0 pada aksi final di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London malam kelmarin.

Kemenangan itu memboleh­kan The Oranje mempertahankan gelaran dimenangi empat tahun lalu di The Hague dan merupakan koleksi kelapan secara keseluruhan sejak kali pertama memenanginya sewaktu edisi pertama di Mandelieu, Perancis pada 1974.

“Kejayaan demi kejayaan membuktikan kami adalah negara hoki paling baik di dunia. Kami mahukan kemenangan ini supaya kami dapat sekali lagi mempertahankan gelaran juara Piala Dunia,” kata ketua jurulatih Belanda, Alyson Annan.

Enam gol Belanda diperoleh menerusi jaringan Lidewij Welten pada minit ketujuh, Kelly Jonker (m-19), Kitty van Male (m-28), Malou Pheninckx (m-30), Marloes Keetels (m-32) dan Caia van Maasakker (m-34).

Ia juga menamatkan kisah dongeng Ireland yang tidak pernah disebut-sebut akan ke pentas final sebelum bermulanya Piala Dunia 2018 kerana merupakan dua pasukan ran­king paling rendah dalam kejohanan ini.

Ketua jurulatih Ireland, Graham Shaw sedar anak-anak buahnya tidak memiliki peluang untuk menewaskan Belanda yang sudah bermain di pentas final sebanyak 11 kali daripada 12 edisi terakhir Piala Dunia termasuk di London kali ini.

“Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan kami mampu menewaskan Belanda tetapi saya sangat berbangga kerana kami mampu bermain di pentas final dan menamatkan kejohanan ini sebagai naib juara.

“Saya harap kejayaan ini akan menjadi satu inspirasi kepada industri sukan di Ireland. Semua pemain berhak mendapat penghargaan atas kejayaan bersejarah ini,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN