Bekas pengarah, pembantu teknikal Petronas Carigali didakwa lagi - Utusan Malaysia

Bekas pengarah, pembantu teknikal Petronas Carigali didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat cari gali dan bekas pembantu teknikal Petronas Carigali Sdn. Bhd. yang sebelum ini dituduh membuat tuntutan palsu didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM1.7 juta.

Yong Mee Lan, 54 dan Ahmad Asyraaf Kamarul Zaman, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mee Lan didakwa telah menerima wang berjumlah RM226,000 melalui lima keping cek Public Bank Berhad milik Syarikat AceTimur Drilling Sdn. Bhd. ke dalam akaun Public Bank miliknya yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram di Public Bank Berhad, cawangan Taman Connaught, Jalan Cerdas, Taman Connaught, Cheras di sini pada 26 Mac dan 27 Julai 2015.

Ahmad Asyraaf pula didakwa atas empat pertuduhan sama, menerima wang keseluruhan berjumlah RM1,502,919.02, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram di Maybank Berhad, Bangunan AHP, 2 Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini dan di CIMB Bank Berhad, GF, C04-C05 Concourse Level Petronas Tower 3, Suria KLCC, Jalan Ampang di sini antara 12 Februari dan 21 April 2016.

Hakim Rozina membenarkan Ahmad Asyraaf yang diwakili peguam Mohd. Haziq Dhiyauddin Razali mengguna pakai jaminan terdahulu yang berbentuk geran rumah dengan dua penjamin berserta jaminan tambahan wang RM50,000 manakala Mee Lan yang diwakili peguam Mohd. Fozi Md. Zin diberikan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN