BESUT 12 Ogos – Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Kampung Padang Landak di sini ditutup empat hari bermula esok selepas lebih 20 pelajarnya dikesan menghidap beguk (cluster mumps).
![]() |
|
JUSOH
|
Pengetuanya, Jusoh Mat berkata, langkah itu diambil oleh pihak pengurusan atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengelak penularan penyakit tersebut yang sudah tiga minggu menjangkiti para pelajar.
“Penyakit ini bermula daripada seorang pelajar lelaki tingkatan satu yang dijangkiti virus ketika melawat bapa saudaranya yang mengalami beguk di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Julai lalu.
“Virus itu kemudian berjangkit kepada pelajar lain dipercayai melalui beberapa faktor seperti perkongsian gelas di antara mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Jusoh, setakat ini hanya pelajar lelaki yang dijangkiti penyakit itu disebabkan mempunyai hubungan rapat sesama mereka.
Katanya, pihak sekolah sentiasa berwaspada dengan menghantar pesakit untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan hampir setiap hari malah, pelajar yang terjejas turut dikuarantin namun, virus itu terus berjangkit kerana hubungan akrab sesama mereka.
Sehubungan itu, katanya, kesemua 430 pelajar termasuk 130 pelajar perempuan dibenarkan pulang hari ini dan pihak sekolah menyediakan lima buah bas untuk menghantar mereka ke destinasi masing-masing di seluruh daerah.
“Bagaimanapun bagi pelajar yang tinggal di daerah berdekatan seperti Besut dan Setiu, pihak sekolah meminta ibu bapa atau penjaga datang untuk mengambil anak masing-masing,” katanya.
Penyakit beguk disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus dan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengan air liur pesakit.
Antara simptom beguk adalah bengkak pada kelenjar liur, demam, sakit kepala, mulut kering, muka atau telinga perit dan kadangkala dalam kes lebih serius, penghidap kehilangan suara. – UTUSAN ONLINE












