Bakal guru juara Pertandingan Pidato Kenegaraan - Utusan Malaysia

Bakal guru juara Pertandingan Pidato Kenegaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Seorang bakal guru, Anis Hazirah Zakaria, 22, menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan 2018 peringkat negeri yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus semalam.

Dalam pertandingan tahunan itu, Anis Hazirah yang memilih tajuk ‘Masyarakat penyayang dan berbudi bahasa membentuk negara harmoni’ membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Perguruan Sejarah di IPGKDRI itu akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sabah pada pertengahan September depan.

Tempat kedua dimenangi oleh seorang pembantu kedai, Siti Norhayatun Ali, 27, dari Dungun yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 manakala Penolong Pegawai Undang-Undang Majlis Daerah Besut, Ahmad Burhan Sidqi A.Rahim, 34, di tempat ketiga (RM500).

Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Suwadi Guliling menyampaikan hadiah kepada pemenang. Yang turut hadir, Pengarah

IPGKDRI, Dr. Azman Jusoh.

Tiga lagi peserta yang bersaing di peringkat akhir itu ialah pelajar Kolej Ranaco Kemaman, Nur Nai’mah Nabilah Mohd Norizan di samping guru Sekolah Kebangsaan Tapah, Rozilah Ibrahim dan Pemangku Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kolej Bestari, Setiu, Nur Jawahir Abdul Rahim.

Sementara itu, berucap dalam majlis tersebut, Suwadi berkata, pertandingan yang bertemakan `Sayangi Malaysiaku’ bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu semasa dan kefahaman masyarakat terutama golongan belia mengenai dasar kerajaan selain memupuk perpaduan.

“Pertandingan ini juga merupakan salah satu pendekatan bagi memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan oleh pelbagai kaum dalam kehidupan seharian selain meningkatkan rasa kecintaan serta kebanggaan masyarakat terhadap negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN