ATM bongkar taktik seludup ketum guna lori - Utusan Malaysia

ATM bongkar taktik seludup ketum guna lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Taktik licik sindiket penyeludupan daun ketum menyembunyikan 609 kilogram (kg) daun itu di bawah lantai bahagian belakang sebuah lori untuk diseludup ke Thailand berjaya dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan Malaysia-Thailand dalam daerah Padang Terap dekat sini hari ini.

Kegiatan itu berjaya dibongkar Markas 6 Briged melalui Pasukan 4 Rejimen Sempadan berhampiran Pos Sahara kira-kira pukul 3.30 pagi ini.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, empat anggotanya yang melakukan rondaan ternampak beberapa individu sedang memuatkan barang ke atas sebuah lori.

“Pasukan ronda kemudian cuba mendekati kenderaan tersebut sebelum individu terbabit bertindak melarikan diri ke dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut menemui 609 kg daun ketum yang diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar disusun berbaris-baris di ruang kosong bahagian lantai lori berkenaan sebelum ditutup dengan papan.

“Sindiket ini dikesan menggunakan taktik baharu iaitu mengubah suai bahagian belakang lori untuk menyembunyikan daun ketum yang disyaki mahu diseludup ke negara jiran,” ujarnya.

Tambahnya, rampasan itu merupakan kes pertama tahun ini membabitkan lori yang diubah suai berbanding sebelum ini yang menjadikan kawasan semak atau hutan sebagai transit sebelum diambil oleh orang ketiga untuk diseludup.

“Kesemua daun ketum bernilai hampir RM55,000 dan lori tersebut dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN