ASAS bantah cadangan iktiraf UEC - Utusan Malaysia

ASAS bantah cadangan iktiraf UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) membantah sebarang cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kerana boleh menggagalkan usaha membina warganegara berjati diri kebangsaan dan membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Presidennya, Ghazali Bujang, kerajaan mahupun Kementerian Pendidikan dilihat tidak sewajarnya melayan tuntutan-tuntutan pihak tertentu yang mahukan UEC ini diiktiraf kerana jelas perjuangan pihak itu adalah demi kepentingan politik sempit dan perkauman mereka.

“Sebagai perintis sekolah berasrama penuh berbahasa kebangsaan, ASAS tentunya membantah terhadap ura-ura agar UEC ini diiktiraf dan kami berpendirian pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan harus menghentikan terus sebarang tolak ansur ataupun membuat apa-apa janji untuk mengiktiraf UC.

“UEC jelas bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar utama, menggunakan kurikulum yang sama dan sistem penilaian pendidikan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ghazali, ASAS telah menyediakan satu memorandum bantahan terhadap cadangan pengiktirafan UEC tersebut dan akan diserahkan kepada wakil Menteri Pendidikan dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN