Artis, selebriti diminta sokong usaha lawan cetak rompak - Utusan Malaysia

Artis, selebriti diminta sokong usaha lawan cetak rompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Orang awam terutama artis dan selebriti diminta tampil menyokong usaha melawan kegiatan cetak rompak.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam satu kenyataan hari ini berkata, golongan artis dan selebriti yang menjadi ikutan rakyat boleh sama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran harta intelek melalui kempen #JanganCuri yang dianjurkan perbadanan ini.

Berikut adalah kenyataan penuh MyIPO mengenai #JanganCuri

Memuatkan artikel berkaitan…

Merujuk kepada beberapa laporan berita disiarkan media tempatan berkaitan pendedahan oleh sebuah akaun Instagram mengenai artis dan selebriti tempatan menggayakan barang tiruan, dan komen susulan oleh sebahagian artis mengenai isu terbabit, berikut adalah kenyataan media oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO):

Pertama sekali, MyIPO ingin menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan keprihatinan dalam isu harta intelek dan pembanterasan aktiviti cetak rompak dan penjualan serta penggunaan barangan tiruan. Ini termasuk orang awam dan juga golongan selebriti yang sentiasa mengambil berat dalam menghormati hak harta intelek serta mengambil inisiatif bagi meningkatkan kesedaran umum terhadap aktiviti terbabit. Walau bagaimanapun, MyIPO ingin menyatakan bahawa usaha meningkatkan kesedaran ini adalah lebih baik jika dilaksanakan dengan cara berhemah tanpa mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu.

Selaku custodian (penjaga) harta intelek di Malaysia, MyIPO sentiasa memandang serius mengenai isu barang tiruan dan cetak rompak di negara ini apatah lagi jika ia membabitkan golongan trendsetter yang menjadi rujukan fesyen dan ikutan oleh rakyat Malaysia.

Berkenaan pendedahan melalui laman sosial berkenaan, MyIPO mengambil maklum mengenai laporan-laporan berita yang memaparkan komen susulan beberapa artis dan selebriti mengenai pendedahan terbabit, di mana mereka secara terbuka mengaku menggunakan barangan tiruan, termasuk ada yang turut mempertikai adakah ianya satu kesalahan untuk memakai barangan tiruan.

Selaku badan yang bertanggungjawab memperkasa dan melindungi harta intelek, MyIPO ingin menyatakan rasa kesal di atas kenyataan-kenyataan terbuka yang secara terang menyokong pembelian dan penggunaan barang tiruan seperti ini.

Kami ingin menegaskan bahawa isu perlindungan harta intelek adalah satu perkara yang penting dan tidak sepatutnya diambil secara sambil lewa kerana ia membabitkan hak pemilik sah yang telah melaburkan kos dan usaha bagi menghasilkan produk mereka.

Perbuatan menggunakan harta intelek tanpa kebenaran adalah sama seperti mencuri dari pemiliknya, dan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral.

MyIPO berharap para artis dan selebriti, sebagai sebahagian dari golongan yang menjana pendapatan melalui hasil-hasil karya, akan lebih memahami keseriusan isu harta intelek serta impak aktiviti ciplak kepada pemilik asal.

Dengan ini, MyIPO menyeru semua pihak terutama golongan artis dan selebriti yang menjadi ikutan rakyat tempatan untuk sama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran harta intelek melalui kempen #JanganCuri yang dianjurkan perbadanan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×