KUALA LUMPUR – Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang didakwa mengutus surat berupa hasutan kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) di Amerika Syarikat (AS) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Ketua Biro Integriti Armada Nasional, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, surat rasmi melalui MEIO itu memberi tuduhan serta fitnah terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghalang kemenangan PH pada PRU-14.
“Surat yang bertarikh 4 Mei 2018 itu memfitnah dan menuduh Tun Mahathir yang mana mendakwa beliau seorang anti semitik (anti Yahudi) dan anti Barat seperti laungan golongan tokoh-tokoh Barat yang membela nasib warga Palestin
“Bukan itu sahaja, terdapat juga unsur hasutan dengan niat supaya AS campurtangan urusan politik di Malaysia iaitu memuji-muji hubungan baik Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan pentadbiran AS,”katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.
Terdahulu, sebuah portal tempatan mendedahkan sepucuk surat daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri kepada CIA di AS sebelum PRU-14.
Surat berkenaan dihantar oleh Hasanah kepada Pengarah CIA, Gina Haspel yang antara lain meminta sokongan AS terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) menang mudah atau dengan bilangan kerusi yang sedikit. – K! ONLINE










