PETALING JAYA – Teka-teki mengenai persaingan kerusi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya terjawab apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum menang tanpa bertanding untuk Pemilihan PKR 2018.
Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Ismail Yusop di Ibu Pejabat PKR di sini selepas tempoh pencalonan ditutup pukul 5 petang semalam.
Anwar akhirnya menggantikan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail setelah menjadi Ketua Umum parti itu sejak 2008.
Jawatan Ketua Umum tiada dalam Perlembagaan PKR.
Anwar mengumumkan bertanding jawatan itu pada 15 Julai lalu, manakala Wan Azizah mengumumkan tidak bertanding mana-mana jawatan.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bakal bersaing dengan Rafizi Ramli bagi mempertahankan jawatan nombor dua parti.
Borang pencalonan beliau dihantar oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selaku penyokong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Mohd. Hilman Idham selaku pencadang.
Azmin semalam berada di Singapura atas urusan kerja.
Pengesahan itu sekali gus mematahkan khabar angin bahawa Azmin akan melawan mentornya, Anwar untuk jawatan Presiden PKR.










