JOHOR BAHRU – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 16, dua tahun lalu.
Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Azwan Abidin, 24, di akhir kes pendakwaan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol perempuan yang dipercayai jirannya berusia 16 tahun ketika kejadian, di lorong belakang sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Majidee di sini, antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, Januari 2016.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin mengemukakan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Januari 2017. – K! ONLINE










