DUNGUN 6 Ogos – Bagi Amirah Fatimah Ali, tiada rahsia untuk mencapai kejayaan selain daripada kesungguhan dalam menguasai pengajian agar dapat memahami di samping menterjemahkannya melalui pelaksanaan.
Graduan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) itu membuktikannya dengan merangkul Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-15 PSMZA hari ini.
Meskipun banyak dugaan yang tentunya boleh melekakan, tumpuannya tidak teralih dengan azam dan sikapnya yang tidak suka bertangguh dalam melaksanakan tugasan malah berusaha untuk menyiapkannya dengan sempurna.
“Selesai sahaja pembelajaran di bilik kuliah, saya akan sambung ulang kaji pada waktu malam kerana mahu betul-betul memahami setiap subjek yang diajar oleh pensyarah selain turut menjadikan rakan sekelas sebagai rujukan,” kata anak kepada seorang pesara kerajaan itu.
Berasal dari Kuala Terengganu, Amirah Fatimah 22, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.69 itu menerima
anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohammad Naim Yaakub.
Dia merupakan kalangan 1,271 orang graduan sesi Disember 2016 dan Jun 2017 yang diraikan dalam majlis yang berlangsung dalam dua sesi termasuk pada hari esok.
Dr. Mohammad Naim menyempurnakan penganugerahan diploma pada hari pertama manakala Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Wan Abdullah pada hari kedua.
Anak sulung daripada lima beradik itu yang menyifatkan anugerah yang diterima sebagai hadiah kepada ibu bapanya berharap kejayaannya menjadi rangsangan kepada adik-adiknya serta pelajar lain untuk berjaya kelak.
“Jika kita ada matlamat dan kesungguhan, sesiapa pun boleh berjaya. Apa yang penting, sentiasa taat kepada ibu bapa dan
mohon restu mereka,” ujarnya yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Malaysia Perlis bagi memenuhi impian menjadi jurutera.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Mohd. Fikri Ismail berkata, sepanjang 17 tahun penubuhannya, institusi itu telah berjaya melahirkan seramai 18,702 graduan.
“Dalam pelan transformasi politeknik, 85 peratus graduan disasarkan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan, dan bagi merealisasikannya, politeknik melaksanakan program 1L5G dengan seorang pensyarah memantau lima graduan di bawah seliaan masing-masing.
“Hasilnya memberangsangkan apabila bagi sesi Jun 2017, kita telah mencapai sehingga 92.04 peratus graduan yang bekerja dalam tempoh itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










