ALOR SETAR 6 Ogos – Dengan pengalaman lebih 20 tahun menjadi jurulatih seni mempertahankan diri taekwondo selain 17 tahun bergelumang dalam dunia motivasi, Pengurus Kem Motivasi Kampung Teluk Kandai, Alor Mengkudu dekat sini, Mohd. Husni Zakaria mengambil inisiatif menggabungkan kedua-dua bidang itu untuk manfaat masyarakat setempat.
Menariknya, semua itu dilakukan secara percuma bagi berbakti kepada anak-anak kecil di kampung kelahirannya itu.
Pada setiap Sabtu, lebih 30 kanak-kanak berusia antara lima hingga 18 tahun hadir menjalani latihan seni mempertahankan diri itu yang diselang-selikan dengan aktiviti pemantapan rohani di kem tersebut.
“Latihan ini berlangsung tiga jam bermula pukul 4 petang hingga 7 petang. Apabila tiba waktu asar, kami berhenti untuk solat dan memberi perhatian terhadap tertib menjalankan ibadah itu.
“Tepat pukul 6.30 petang, ibu bapa atau waris perlu sampai ke tempat latihan untuk program muhasabah diri bersama pelajar. Program sebegini diharapkan mampu memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya selepas majlis perasmian kelas taekwondo tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi di kem berkenaan, di sini baru-baru ini.
Kelas tersebut bermula sejak empat tahun lalu, namun pembaharuan dengan menyelitkan sesi kerohanian itu baru dimulakan awal tahun ini.
Mohd. Husni yang kini bertugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Langgar merupakan bekas Setiausaha Pembangunan Taekwondo negeri selain kerap diundang untuk memberi ceramah motivasi di beberapa lokasi di seluruh tanah air.
Bapa kepada enam anak itu berkata, meskipun melaksanakan latihan itu secara percuma, beliau tidak merasa terbeban dengan perkara itu malah menganggapnya sebagai bekalan ke akhirat.
“Saya bersyukur kerana waris pelajar terlibat turut bekerjasama dengan memberi sumbangan untuk menjayakan program ini.
“Ada antara mereka memberi beberapa sumbangan untuk menjayakan projek ini. Kalau boleh selepas ini, saya memasang impian untuk membuka kelas sebegini di beberapa kawasan lain selepas ini,” katanya.










