PUTRAJAYA 7 Ogos – Selepas dipenjara selama setahun dan dibebaskan pada November 2016, pelantun lagu Petua dan Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar, 33, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya menantikan detik pembebasan bapanya, Datuk Adzhar Sulaiman pada awal tahun depan.
Pernah disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram, Adzrin atau Noradzrin Adzhar turut memberitahu bahawa kakaknya, Noradzma telah pun dibebaskan pada tahun lalu.
“Sudah lama kami sekeluarga menantikan detik dan waktu ini. Insya-Allah, tak lama sahaja lagi, masa itu akan tiba,” katanya optimis.
Terdahulu, Adzrin bersama-sama kakak dan bapanya dipenjara dan didenda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59 juta.
Mereka didakwa menggunakan wang haram untuk membeli hartanah, produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur di antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.
Adzrin dihukum penjara selama setahun, Noradzma pula tiga tahun, sementara bapanya yang ketika itu merupakan Ketua Cawangan UMNO Bahagian Cheras dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Dalam pada itu, Adzrin yang menghidap kanser ovari tahap dua sejak tiga tahun lalu mengesahkan dirinya telah bebas daripada penyakit tersebut.
“Alhamdulillah, setelah melakukan pemeriksaan berkala, Mei lalu, doktor memberitahu bahawa sel kanser itu telah berhenti merebak.
“Saya tidak menjalani rawatan kimoterapi, sebaliknya mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga diet pemakanan serta melakukan aktiviti senaman.
“Pada masa yang sama, saya amalkan pengambilan ubat dan suplemen bersesuaian,” katanya. UTUSAN ONLINE











