PUTRAJAYA 6 Ogos – Kira-kira 500,000 penduduk di negara ini dianggarkan menghidap penyakit Hepatitis C.
Lebih membimbangkan, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu diramal akan terus meningkat selepas ini di bawah tahap rawatan antiviral semasa.
Malah katanya, menjelang 2039, diunjurkan bahawa lebih 60,000 kematian berkaitan Hepatitis C akan berlaku di negara ini.
“Kementerian sedar tentang peningkatan jumlah kes Hepatitis C dan bebanannya kepada rakyat.
“Langkah-langkah telah pun diambil dalam memastikan penghasilan penawar yang mampu dimiliki dan boleh diakses di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Yayasan Dianogstik Baru Inovatif (FIND) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) untuk kerjasama dalam kajian serta pembangunan satu strategi inovatif bagi ujian diagnostik Hepatitis C.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. -UTUSAN ONLINE










