GERIK 7 Ogos – Sebanyak 40 pelajar dari 13 buah Kolej Komuniti Wilayah Perak menyertai program Transformasi Kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang diadakan di Kolej Komuniti Gerik di sini.
Dalam program selama tiga hari itu, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan seperti ice breaking, team building, explorace dan permainan kreatif.
Menerusi program itu, peserta turut mengikuti bengkel teknik pengucapan awam dengan pertandingan best speaker adalah kemuncak aktiviti perlu dilalui oleh peserta yang mana peserta terbaik akan mewakili Kolej Komuniti Wilayah Perak.
Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Gerik, Norlizawati Hashim berkata, program diadakan bagi melahirkan jawatankuasa pemimpin pelajar yang berketrampilan unggul dan mempunyai kredibiliti kepimpinan tinggi serta dapat menonjolkan kemahiran sosial dan mengembangkan potensi diri pelajar.
Di samping itu katanya, program tersebut juga bertujuan memilih pelajar terbaik dalam kalangan jawatankuasa perwakilan pelajar untuk mewakili Kolej Komuniti Wilayah Perak ke pemilihan JPP kebangsaan.
“Program ini juga dapat menonjolkan bakat pelajar serta keyakinan mereka dalam menyampaikan maklumat di hadapan khalayak.
“Program yang dirangka bertepatan dengan aspirasi pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (pendidikan tinggi) yang ingin melahirkan pelajar berkemahiran memimpin, mempunyai etika dan kerohanian, menerapkan identiti nasional, kemahiran bahasa, berfikir dan berpengetahuan luas.
“Selain itu, program ini membantu melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang serta graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti,” katanya.
Beliau ditemui selepas perasmian program itu yang disempurnakan oleh Pengarah Kolej Komuniti Sungai Siput, Leftenan Kolenal Zulkifli Kamarudin, baru-baru ini.
Menurut Norlizawati, kepimpinan adalah satu proses komunikasi dan interaksi sosial yang sering diperkatakan oleh masyarakat masa kini.
Katanya, hal demikian kerana kepemimpinan adalah kualiti tingkah laku individu untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi.
“Kepemimpinan boleh berlaku dalam kelompok mahu pun kumpulan. Peri laku pemimpin dan gaya kepemimpinannya melibatkan pengaruh seorang ketua terhadap ahli-ahli di bawahnya yang berada dalam kelompok yang sama bagi mencapai objektif direncanakan,” ujarnya.










