ISKANDAR PUTERI 5 Ogos – Sebuah tapak pasar malam yang didirikan warga asing secara haram sejak sebulan yang lalu di Tanah Rizab Awam, Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini, diserbu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), kelmarin.
Dalam operasi bermula pada pukul 7 pagi itu, sebanyak 100 gerai di tapak pasar malam itu dirobohkan selain pelbagai peralatan serta barangan jualan turut disita.
Ketua Operasi MBIP, Azrullail Masijan berkata, operasi yang dijalankan 123 pegawai dan anggota penguatkuasa MBIP serta polis itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemantauan sejak sebulan lalu.
“Kita mendapat aduan pihak pemaju dan orang awam yang memaklumkan ada tapak malam beroperasi di sini dipercayai secara haram sebelum pihak kita melakukan siasatan dan risikan.
“Susulan itu, pihak kita mendapati lebih 100 peniaga di tapak pasar malam beroperasi antara pukul 4 petang hingga lewat malam pada setiap hari ini,” katanya selepas serbuan berkenaan.
Azrullail berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan sebanyak 54 pengosongan di kawasan itu namun hanya 34 notis sahaja berjaya diserahkan.
Katanya, selepas notis diserahkan 25 Julai lalu, pihaknya mendapati warga asing berkenaan masih berdegil dan tetap meneruskan perniagaan pasar malam seperti biasa.
Ujarnya, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke pejabat MBIP untuk tindakan selanjutnya mengikut Undang-undang Kecil 3, Undang-undang Penjaja Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MBJBT) 1982 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.











