SHAH ALAM – Ikatan perkahwinan selama 20 tahun antara penyanyi terkenal, Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, akhirnya terlerai apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Lafaz cerai itu dilakukan oleh Armin yang merupakan bekas ketua pramugara Malaysia Airlines Bhd. itu di hadapan Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar pukul 2.48 petang.
Ziana yang memakai jubah berwarna hitam dalam prosiding itu kelihatan tenang ketika talak itu dilafazkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mohd. Nizar dalam penghakimannya memberitahu, lafaz cerai itu adalah menerusi talak rajie dengan Ziana perlu idah selama tiga bulan.
“Kamu berdua dinasihatkan supaya mendaftar perceraian di Pejabat Agama Daerah Petaling dan surat nikah sebelum ini dibatalkan.
“Berkenaan isu anak-anak, kamu berdua boleh memfailkannya di Mahkamah Tinggi Syariah. Sekiranya seorang mendapat hak penjagaan, seorang lagi pasti dapat hak lawatan anak-anak,” katanya.











