KUALA LUMPUR 23 Julai – Sime Darby Property Berhad mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang meletak jawatan pada 30 Jun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, Zeti yang juga Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan.
“Kami mengalu-alukan kehadiran beliau dalam lembaga pengarah syarikat dan kehadirannya akan mengukuhkan lagi komitmen PNB kepada Sime Darby Property serta membantu proses transformasi kami.
“Kerjasama ini diharap dapat membawa syarikat pergi lebih jauh dan meningkatkan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zeti merupakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dari tahun 2000 hingga 2016. Beliau telah mengetuai bank pusat itu dengan pelbagai kejayaan dalam melaksanakan kawalan pertukaran bagi memulihkan kestabilan dan menggalakkan pemulihan ekonomi negara.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi daripada Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dari University of Pennsylvania.
Sime Darby Property turut melantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datin Norazah Mohamed Razali sebagai Pengerusi baharu Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran (NRC) bagi menggantikan Datuk Rohana Mahmood yang berundur pada bulan lalu.










