KLANG – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yakin akan ‘menyapu bersih’ undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.
Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu berkata, keyakinan itu didorong hasil maklum balas positif yang diterima terutamanya daripada pemimpin-pemimpin komuniti yang menyatakan sokongan secara terbuka kepadanya untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.
Beliau berkata, pengundi India di DUN Sungai Kandis meliputi 15 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar iaitu seramai 51,230 orang.
“Berdasarkan maklum balas yang kami terima daripada kaum India di daerah-daerah mengundi sangat positif terutama daripada pemimpin komuniti menyatakan sokongan kepada saya.
“Ini menambah keyakinan saya bahawa pengundi India akan memberikan kepercayaan dan amanah (undi) kepada saya. Masyarakat India juga sedar bahawa mereka telah mendapat banyak faedah daripada kerajaan negeri termasuk dari segi pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K. Murthy.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. – K! ONLINE










