PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai hak cipta sebuah novel yang didakwa mempunyai kaitan dengan filem terbitan syarikatnya, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
Perkara itu diputuskan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membenarkan permohonan Yusof, anak lelakinya yang juga pengarah serta pelakon, Syamsul serta syarikat penerbitan filem mereka, Skop Production Sdn. Bhd. untuk mendapat kebenaran merayu.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Yusof berkata, kuorum berkenaan yang turut dianggotai Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Aziah Ali juga membenarkan ketiga-tiga pemohon mengemukakan dua persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh lain.
“Persoalan yang pertama ialah adakah percetakan itu dengan sendirinya memadai untuk membuktikan secara undang-undang perkaitan antara kedua-dua perkara yang dituduh sebagai plagiarism.
“Persoalan kedua ialah dalam menjalankan tugas di bawah undang-undang tersebut adakah terdapat kewajiban undang-undang untuk mahkamah melihat dan membandingkan bahan di antara cetakan dengan filem untuk menentukan ada persamaan atau tidak,” katanya ketika ditemui.
Pada 21 Julai tahun lalu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan penulis novel, Elias Edris yang menuntut perisytiharan bahawa Yusof, Shamsul dan Skop Production telah melanggar hak cipta terpelihara novel beliau yang bertajuk Aku Bohsia dan memerintahkan mereka membayar novelis itu ganti rugi yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman novelis itu selepas membenarkan rayuannya.
Dalam hujahan semalam, Mohamad Haniff Kathri turut membangkitkan kemungkinan Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam membuat keputusan yang memihak kepada novelis tersebut sebelum ini.
Katanya, sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan pihak Skop Production dan tiada plagiarism wujud sejak 14 tahun terdahulu manakala watak, cerita dan topik adalah berbeza.
“Mahkamah Rayuan pula mendapati sebaliknya tanpa melihat dan membandingkan wayang tersebut dengan novel, jadi bagaimana mahkamah membuat keputusan tanpa membuat perbezaan secara fizikal. Hujahan lanjut akan disampaikan dalam Mahkamah Persekutuan kelak,” katanya. – K! ONLINE










